Jumaat, 17 Disember 2010

AL-QURAN KITAB SUCI




Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: " Seseorang yang ahli di dalam al-Qu'ran akan berada di kalangan para malaikat yang mana mereka itu adalah pencatit- pencatit mulia dan lurus, dan seseorang yang tidak lancar di dalam membaca al-Qu'ran dan terpaksa bertungkus-lumus mempelajarinya akan mendapat ganjaran yang dua kali ganda,"

Keterangan
"Seseorang yang ahli di dalam al-Quran" bermakna seseorang yang cekap menghafal dan juga membacanya. Adalah lebih terpuji jika seseorang itu menguasai makna dan juga kepentingannya."

“Akan berada di kalangan malaikat-malaikat" bermakna seumpama malaikat-malaikat yang memindahkan al-Qu'ran daripada Luh Mahfuz (kitab yang terpelihara di sisi Allah), ia juga menyampaikannya kepada orang lain melalui pembacaannya, dengan ini kedua-duanya mempunyai pekerjaan yang sama, atau ia akan berada bersama-sama dengan malaikat-malaikat di hari pengadilan.

Seseorang yang tidak lancar akan mendapat ganjaran dua kali ganda. Satu untuk pembacaannya dan satu lagi kerana usahanya membaca al-Quran walaupun ia tersekat-sekat beberapa kali. Ini tidaklah bermakna bahawa ganjaran untuknya akan melebihi daripada seseorang yang ahli. Ganjaran untuk orang yang ahli yang dinyatakan adalah begitu tinggi sekali sehingga ia akan berada di kalangan para malaikat yang khusus. Penjelasannya adalah bahawa di dalam usahanya membaca al-Quran di samping segala kesukaran-kesukaran dan pembacaan yang tersekat-sekat akan mendatangkan ganjaran yang berasingan. Dengan demikian, membaca al-Quran sepatutnya janganlah ditinggalkan.

Mulla Ali Qari telah mengeluarkan semula daripada riwayat Tabrani dan Baihaqi bahawa seseorang yang payah untuk menghafal al-Quran tetapi terus juga mempelajarinya di dalam hati akan mendapat dua kali ganda ganjarannya. Begitulah juga seseorang yang ingin untuk menghafalnya tetapi tidak ada kebolehan untuk melakukannya, tetapi tidak berputus asa daripada membacanya akan dikira oleh Allah Yang Maha Kuasa sebagai termasuk di kalangan para hafiz (huffaz) di hari Kebangkitan semula kelak.


Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Quran, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Quran." Telah bersabda Rasulullah S.A.W : “Belajarlah kamu akan Al-Quran, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."

Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?" Maka berkata Al-Quran : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."

Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Quran itu : "Adakah kamu Al-Quran?" Lalu Al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.

Pada kedua ayah dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?"
Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Quran."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan