Selasa, 26 Oktober 2010

10 AMALAN YG TERBALIK KITE LAKUKAN






Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali
tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita
adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan
dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan
atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang
dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati
selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan
seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di
mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk
keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia
makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah
mereka yang hadir makankenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka
termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta
peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut
Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri
kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa
bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia
nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak
segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si
matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi
pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia
menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin
negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap
Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan
ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan
nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu,
sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang
dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah,sangat
malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah
seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang
berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta
perbelanjaansetiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan
di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan
sepatutnya perbelanjaan dibulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik
amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan
orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik
dari Mekah tak buat kenduri pun.Anjuran berkenduri dalam Islam
antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri,
bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri.Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa.
Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi
kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak
mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau
guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali
hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali
hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita?
Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran
atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi
kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi
peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak
ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini,
rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak,
bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah.
Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya,bukan
berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan
rumahtangga kurang bahagia.Cukup dengan contoh-contoh di
atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah
kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan
ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikutselera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat."(Riwayat Bukhari)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan