Rabu, 11 Mei 2011

SABAR ADALAH ANTARA 6 SIFAT ORANG YANG BERTAKWA

DALAM khutbah Jumaat, khatib mesti berpesan kepada jemaah agar menjadi orang bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ia adalah antara rukun khutbah Jumaat.

Peringatan itu diberikan pada peringkat awal khutbah. Ia agar jemaah akan mendengar segala isi khutbah disampaikan. Kandungan isi khutbah tidak lain dan tidak bukan untuk melahirkan manusia bertakwa kepada Allah.

Islam amat menuntut umatnya menjadi orang bertakwa.

Al-Quran menjelaskan sifat orang bertakwa dalam firman-Nya bermaksud: "iaitu orang yang berdoa: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. Iaitu orang yang sabar, orang yang benar, orang yang taat, orang yang menginfaqkan (ke jalan Allah) dan orang yang memohon keampunan pada waktu sahur."(Surah Ali Imran, ayat 16-17)

Berdasarkan ayat di atas, ada enam sifat orang bertakwa iaitu orang berdoa, bersifat sabar, benar, taat, suka menafkahkan hartanya dan mereka yang sentiasa memohon keampunan pada waktu sahur.

Dalam sifat di atas, wujud ciri amat bernilai dalam kehidupan manusia sebagai hamba-Nya dan bermasyarakat.

Ungkapan doa seseorang hamba yang dimohon kepada Pencipta-Nya membuktikan ketakwaan mereka. Hal ini kerana di sana wujud konsep manusia memerlukan pertolongan Allah. Ia adalah pengumuman iman, satu permohonan syafaat di sisi Allah. Begitu juga permohonan keampunan dan pemeliharaan daripada azab neraka.

Dengan keimanan kepada Allah, manusia akan memohon keampunan kepada-Nya. Hal ini kerana setiap perbuatan manusia akan mendapat balasannya sama ada baik atau sebaliknya.

Memohon keampunan menunjukkan manusia percaya akan balasan daripada Allah dan beriman kepada-Nya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan