Sabtu, 7 Mei 2011

RASULULLAH BERTAUBAT 100 KALI SEHARI


TAUBAT adalah kembali daripada melakukan maksiat. Orang yang berdosa itu seolah-olahnya meninggalkan Allah dengan tidak taat kepada-Nya dan melanggar perintah-Nya. Maka apabila dia meninggalkan maksiat, seolah-olah dia kembali semula kepada Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba, selama (nyawanya) belum sampai pada kerongkong.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah juga bersabda bermaksud: “Barang siapa bertaubat sebelum matahari terbit dari Barat, nescaya Allah menerima taubatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Perkara ini disebabkan jika matahari terbit dari Barat maka pintu taubat serta-merta ditutup.

As-Salafu Solihu mengetahui nilai taubat, lalu mereka sentiasa melakukan taubat. Perkara ini kerana orang yang berakal apabila memiliki harta yang banyak, kemudian habis tanpa ada faedah yang kembali kepadanya, tentulah dia berasa sesal.

Begitulah umur bagaikan modul untuk membeli nikmat syurga. Alangkah ruginya umur itu hilang begitu saja tanpa bertaubat.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali." (Hadis riwayat Muslim).

Seorang lelaki bertanya kepada Abdullah bin Mas'ud mengenai dosa yang ditanggungnya, adakah boleh bertaubat.

Abdullah berpaling daripadanya, kemudian menoleh kembali kepada lelaki itu. Dia melihat kedua-dua mata lelaki itu dengan berlinangan air mata, lalu Abdullah berkata: “Syurga itu ada lapan pintu, semuanya dibuka dan ditutup melainkan pintu taubat kerana di situ ada malaikat yang ditugaskan supaya tidak menutupnya. Maka beramallah, jangan kamu berputus asa.”

Lukman Al-Hakim pula berpesan: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya. (Kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan (kedatangan ajal mati) ku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang yang soleh. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya, dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.”

Orang yang telah dimatikan, semuanya berangan-angan untuk dapat hidup sebentar supaya dia dapat bertaubat dan bersungguh-sungguh melakukan ketaatan, tetapi jauh sekali apa yang mereka inginkan.

Allah memerintahkan supaya kita melakukan taubat seperti firman-Nya bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Dan Allah menjanjikan menerima taubat serta membuka pintu pengharapan seluas-luasnya. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah Muhammad, wahai hamba-hambaku yang melampau (menzalimi) dirinya, janganlah kamu putus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan dosa semuanya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar, ayat 53)

Allah berfirman maksudnya: “Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai (menyintai) orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Daripada ayat di atas, jelas bahawa Allah kasih kepada orang yang melakukan kebaikan. Orang yang baik, maknanya akhlak dan tingkah lakunya baik. Dia akan melakukan yang baik-baik saja. Ini kerana dia sedar hidup ini adalah kesempatan untuk mengumpul kebaikan.

Dengan kebaikan itu, maka turunlah rahmat Allah. Sebaliknya, Allah membenci orang yang berperi laku jahat dan berakhlak buruk. Kederhakaan manusia menyebabkan turunnya kemurkaan dan bala daripada Allah. Alangkah bahagianya jika kita mendapat kasih sayang Allah.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman (bermaksud): “Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya, iaitu:

Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi orang miskin yang pemurah.

Aku cintakan orang yang rendah hati/diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati.

Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta lagi orang muda yang bertaubat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan