Rabu, 22 Disember 2010

DI ANTARA 2 TANGISAN

AIR MATA ada kalanya penyubur hati, penawar duka dan ada kalanya ia menjadi buih kekecewaan yang menghimpit perasaan dan kehidupan ini.Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor yang berlimpahan.Namun setitis air mata kerana takut kepada ALLAH S.W.T. persis permata indah yang bergemerlapan terpancar dari segala arah penjuru.Penghuni syurga ialah mereka yang banyak mencucurkan air mata demi ALLAH S.W.T. dan RasulNya, bukan semata-mata kerana harta dan kedudukan serta hal duniawi.Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang.Perindu akhirat pula menangis kerana dunia yang datang.Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang batil.Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan ( pemuja dunia ).Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air mata kecewa kegagalan.Dari mata yang redup merenung akhirat yang dirasakan dekat, mengalirlah air mata keinsafan mengharap kemenangan serta rindu akan RasulNya.
"Penghuni syurga itulah orang-orang yang menang." (al-Hasr:20)




Tangis adalah basahan hidup.Justeru, hidup dimulakan dengan tangis, dicela oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.Manusia sentiasa dalam dua tangisan.Sabda Rasulullah s.a.w., "Ada titis yang ALLAH S.W.T. cintai, pertama titisan para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH S.W.T. "Nabi Muhammad s.a.w. bersabda lagi, "Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH kasihi daripada tasbih para wali." Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang membawa bahagia untuk selamanya.Seorang pendosa yang menangis kerana dosanya adalah lebih baik daripada seorang 'abid.Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur. "Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan.Ketawa seorang ulama', dunia hilang ilmu, hilang wibawanya.Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya.Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, "Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa."

Seorang Hukama pernah bersyair, "Aku hairan dan terperanjat melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan." Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, bimbang tidak diterima ibadanya, kita ketawa walaupun sedar kita kosong daripada amalan.Lupakah kita? Sabda Nabi s.a.w., "Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis." Kita gembira jika apa-apa yang kita idamkan tercapai.Kita menangis kalau apa yang kita cita-citakan terabai.Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka.
Namun ALLAH S.W.T. telah berfirman:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu.ALLAH S.W.T. Mengetahui sedangkan kamu tidak." (al-Baqarah:216)

Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak dikemudian hari kerana engkau belum tahu nasibmu dihisab kanan atau dihisab kiri.Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah s.a.w. yang dikasihi ALLAH S.W.T. Kenangilah sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat kepada ALLAH, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat.Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata, "Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu. "Menangis Ummu Sulaim apabila ditanya, "Kenapa engkau menangis?" Jawabnya, "Aku tidak mempunyai anak lagi untuk ku kirimkan ke medan perang." Menangislah seperti Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan.Diharamkan matanya memandang langit seumur hidup, lalu berkata, "Engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu."

Ibnu Mas'ud r.a. berkata, "Seseorang yang mengerti Al-Qur'an dikenali waktu malam ketika orang lain tidur, dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya diwaktu orang lain ketawa.Diamnya diwaktu orang lain berbicara, khusyuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al-Qur'an itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras, dan marah." Tanyakan kepada orang-orang yang soleh mengapa tidak berhibur. "Bagaimana hendak berhibur sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami dan perhentian kami ialah ALLAH S.W.T."




Tiada ulasan:

Catat Ulasan